Pengenalan
Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) adalah salah satu agensi Bangsa-Bangsa Bersatu yang memainkan peranan untuk membawa keamanan, keselamatan dan keharmonian kepada dunia dengan menggalakkan kerjasama dalam bidang pendidikan, sains dan kebudayaan. Empat tonggak pendidikan seperti yang dinyatakan oleh UNESCO yang perlu dikuasai oleh pelajar-pelajar ialah (1) belajar untuk mengetahui, (2) belajar untuk melakukan, (3) belajar untuk menjadi apa dan (4) belajar untuk hidup bersama.
Belajar Untuk Mengetahui
Belajar untuk mengetahui adalah salah satu alat yang penting dalam proses pembelajaran. Ia adalah satu alat kognitif di mana seseorang mesti memperoleh untuk memahami kerumitan persekitaran dan seterusnya memaksimumkan potensi kecemerlangan. Belajar untuk mengetahui juga sebagai keperluan asas yang dapat memudahkan pembelajaran pada masa depan. Seseorang juga mesti mengetahui orang di sekelilingnya melalui komunikasi dan interaksi yang mana akan membantu seseorang itu mencapai kejayaan dalam hidupnya. Belajar untuk mengetahui melibatkan proses pembelajaran untuk memperkembangan daya tumpuan, kemahiran mengingat dan keupayaan untuk berfikir. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, guru perlu merancang satu proses pembelajaran yang menyeronokkan, memupuk minat dan rasa ingin tahu pelajar untuk mencetuskan keinginan mereka untuk mendapatkan pengetahuan baru yang lebih mendalam. Selain itu, guru juga perlu memperkenalkan kemahiran-kemahiran untuk membantu pelajar memperoleh pengetahuan yang baru.
Belajar Untuk Melakukan
Belajar untuk melakukan bermaksud pendidikan mesti dapat melengkapkan seseorang dengan kemahiran yang penting yang mana akan membolehkan seseorang itu terus hidup dan mengambil bahagian dalam dunia global secara berkesan. Potensi seseorang akan digilap dalam proses pembelajaran sehingga seseorang dapat melakukannya perubahan kepada persekitarannya pada masa hadapan. Dalam erti kata lain, seseorang itu mampu untuk mencipta inovasi berdasarkan pengetahuan yang telah diperolehinya. Kompetensi personal dan profesional seperti kemahiran interpersonal, kemahiran berkomunikasi, kerja berpasukan dan kemahiran menyelesaikan masalah adalah faktor-faktor penting dalam menentukan Belajar Untuk Melakukan berhasil. Peranan pendidikan dalam Belajar Untuk Melakukan adalah untuk meningkatkan inisiatif individu dalam penyertaan pembangunan masa depan mereka yang berasaskan pengetahuan teoritikal dan praktikal. Peranan sekolah dan guru-guru adalah untuk memastikan pelajar dapat menguasai dengan baik kompetensi personal dan melakukan yang terbaik.
Belajar Untuk Menjadi Apa
Belajar Untuk Menjadi Apa menekankan bahawa pendidikan seharusnya mampu untuk membangunkan seseorang secara holistik dari segi fizikal, intelek, rohani, emosi dan estetik seperti yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pendidikan mesti menyediakan peluang untuk seseorang membangunkan potensi sepenuhnya supaya dia boleh berfikir dan menilai secara kritis dan bebas, dapat membuat keputusan yang terbaik, mengambil tindakan yang paling sesuai dalam kehidupan mereka dan seterusnya bertanggungjawab ke atas tindakan yang telah diambil. Tugas penting pendidikan adalah untuk memastikan bahawa semua orang menikmati kebebasan untuk berfikir, membuat pertimbangan yang wajar, kebebasan merasa dan membuat imaginasi untuk membangunkan bakat mereka dan seterusnya menentukan carahidup mereka. Cabaran yang dihadapi oleh guru adalah untuk memastikan bahawa semua pelajar sentiasa dilengkapi dengan sumber-sumber personal dan alat intelektual yang diperlukan untuk memahami dunia dan bertindak sebagai seorang manusia yang bertanggungjawab dan adil. Keadaan begini boleh ditingkatkan melalui kerja berkumpulan, pembelajaran berasaskan masalah dan pembelajaran berasaskan projek.
No comments:
Post a Comment