Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997.
Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas), 1997 merupakan satu usaha kerajaan untuk memastikan pendemokrasian pendidikan dan kesaksamaan peluang pendidikan dapat diberikan kepada semua warganegara tanpa mengambilkira latarbelakang, status ekonomi atau kecacatan seseorang.
Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997, berkuatkuasa pada 1 Januari 1998, memberi tafsiran;
“Murid-murid dengan keperluan khas’ ertinya murid murid yang mempunyai cacat penglihatan atau kecacatan pengdengaran atau masalah pembelajaran”.
Manakala Program Pendidikan Khas ditafsirkan sebagai;
a) suatu program yang disediakan di sekolah khas bagi murid-murid yang mempunyai kecacatan penglihatan atau kecacatan pendengaran;
b) suatu program pencantuman di sekolah biasa bagi murid-murid yang mempunyai kecacatan penglihatan atau kecacatan pendengaran atau mempunyai masalah pembelajaran; dan
c) satu program pendidikan inklusif bagi murid-murid dengan keperluan khas yang boleh menghadiri di dalam kelas biasa bersama-sama dengan murid-murid biasa.
Kelayakan untuk Program Pendidikan Khas
Semua pelajar berkeperluan khas yang boleh dididik dan mampu mengurus diri sendiri tanpa bergantung kepada bantuan orang lain boleh diterima bersekolah sepertimana yang disebut dalam Peraturan Pendidikan Khas 1997, Bahagian II 3(2) seksyen 41 dalam akta Pendidikan 1996.
i. Bagi sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan, murid-murid dengan keperluan khas yang boleh dididik adalah layak menghadiri program pendidikan khas kecuali bagi murid berikut:
a) murid yang cacat anggota tetapi mempunyai kebolehan mental untuk belajar seperti murid biasa, dan
b) murid yang mempunyai pelbagai kecacatan atau yang sangat cacat anggotanya atau yang terencat akal yang berat.
ii. Seseorang murid dengan keperluan khas adalah boleh dididik jika dia mampu untuk mengurus diri sendiri tanpa bergantung kepada bantuan orang lain dan disahkan oleh suatu panel yang terdiri daripada pengamal perubatan, pegawai daripada Kementerian Pendidikan dan Pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebagai berupaya mengikut program pendidikan kebangsaan.
Kurikulum
Dalam melaksanakan kurikulum pendidikan khas, guru-guru boleh mengubahsuai kaedah atau teknik pengajaran dan pembelajaran, masa bagi aktiviti dan susunan aktiviti, mata pelajaran dan bahan bantu mengajar bagi mencapai tujuan dan matlamat pendidikan khas.
Rumusan
Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) digubal khusus untuk memastikan pendemokrasian pendidikan dapat diterjemahkan di dalam system pendidikan kebangsaan di mana semua warga mempunyai akses pendidikan tanpa mengira keadaan fizikal serta latar belakang mereka. Komitmen kerajaan juga dengan jelas dinyatakan di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025 di bawah tajuk ‘kumpulan berkeperluan khusus’ khasnya untuk golongan sasar ini.
Penambahbaikan peraturan ini juga dilakukan dari semasa ke semasa terutamanya dengan pindaan Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2013 yang telah diwartakan pada 18 Julai 2013 dan digunapakai pada sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan yang melaksanakan pendidikan khas di seluruh negara.
No comments:
Post a Comment