Noor 'Aini Hj Aaini @ Johari

Wednesday, 4 March 2015

Gejala Sosial

Definisi
Gejala sosial merupakan fenomena modenisasi dan kejutan budaya yang melanda golongan remaja dan belia. Pada zaman remaja, seseorang itu berdepan dengan satu siri krisis identiti iaitu pembentukan dan pengembangan identiti diri. Kegagalan untuk mengatasi cabaran itu membuatkan remaja mengalami krisis kekeliruan. Krisis kekeliruan yang menguasai diri remaja jika tidak dibendung dan di atasi boleh menyebabkan gejala sosial. Fenomena ini merupakan salah satu daripada ancaman kepada sumber tenaga manusia yang boleh merugikan negara dalam jangka masa panjang. Oleh itu, segala masalah sosial yang dihadapi oleh para remaja harus dibendung dan diatasi supaya ia tidak terus mewujudkan ancaman besar terhadap pembangunan dan kemajuan negara.
Gejala sosial adalah sesuatu yang merangkumi pelbagai tingkah laku negatif di dalam anggota masyarakat yang tidak memberikan faedah kepada kekuatan sistem dan struktur ekonomi yang diamalkan oleh sesuatu masyarakat, komuniti ataupun negara. Banyak faktor yang mendorong remaja pada masa kini terlibat dalam gejala sosial yang kurang sihat ini. Menurut Abd. Rahim (2006), penglibatan remaja dalam pelbagai gejala sosial berpunca daripada beberapa faktor; antaranya ialah faktor dalaman diri remaja itu sendiri iaitu dari aspek perkembangan personaliti, kegagalan fungsi institusi keluarga dan juga pengaruh rakan sebaya. Zainal dan Sharani (2004) pula menyatakan pengaruh persekitaran di sekolah juga menjadi punca keruntuhan akhlak di kalangan remaja. 

Isu Pendidikan Semasa
Pada masa kini, tingkah laku golongan pelajar dan remaja khususnya semakin mencabar dengan pelbagai masalah. Keruntuhan moral dalam kalangan pelajar sekolah digambarkan menerusi perlakuan seks bebas, kehamilan luar nikah, pembuangan bayi, kesalahan juvana, penagihan dadah, pembakaran sekolah dan sebagainya semakin meningkat. Kadar penglibatan remaja dalam masalah sosial yang semakin serius ini semuanya berpunca dari beberapa faktor dalaman dan luaran, antaranya ialah:
  • Faktor Ekologi Keluarga
  • Faktor Ekologi Sekolah
  • Rakan Sebaya
  • Media massa/Internet
  • Modenisasi.
Gejala sosial bukanlah suatu penyakit yang biasa, tetapi ia sudah menjadi kudis yang semakin bernanah dalam masyarakat. Jika tidak ditangani dengan segera, gejala sosial ini akan menjadi semakin sukar untuk diubati. Semua pihak haruslah bekerjasama untuk mengatasi gejala sosial ini. Guru khusunya memainkan peranan yang penting dalam mencorakkan masa depan anak-anak muda supaya menjadi remaja dan belia yang menyumbang kepada kemajuan negara.


Cabaran Kepada Guru
Sejauh manakah para guru bersedia menghadapi cabaran gejala sosial di kalangan anak murid mereka? Para guru berperanan mengawal pelajar mereka daripada melakukan gejala sosial. Secara dekat para guru perlu mendampingi setiap pelajar dan memahami permasalahan mereka. Para guru harus peka dan bersikap terbuka serta sentiasa memberikan dorongan kepada pelajar mereka dan ini akan membuka ruang bagi para pelajar untuk membincangkan dan berkongsi masalah yang dihadapi oleh mereka. Di samping itu, disiplin sekolah perlu diketatkan. Hubungan erat antara para guru dengan ibu bapa pelajar perlu ditingkatkan. Pihak sekolah juga boleh memberikan kaunseling kepada pelajar yang bermasalah agar pelajar tersebut tidak berasa dirinya dipinggirkan. Semua usaha yang disebutkan di atas bukanlah perkara yang mudah untuk dilakukan tetapi memerlukan kasih sayang dan kesabaran yang amat tinggi daripada insan yang digelar guru.

Cara Menangani Isu Gejala Sosial
Dengan itu, cara-cara untuk menangani gejala sosial dapat dirumuskan seperti berikut:

Peranan Ibu Bapa
  • mendidik dan mengasuh anak-anak mereka dengan cara yang betul
  • meluangkan lebih masa bersama anak-anak mereka
  • mengamalkan nilai-nilai agama
Peranan Guru
  • merancang pengajaran dengan mengambil kira perbezaan individu pelajar
  • mempelbagaikan strategi dan aktiviti dalam proses pengajaran dan pembelajaran supaya menarik minat murid
  • mengaplikasi kemahiran kaunseling dalam proses perbincangan dengan murid yang bermasalah
  • memupuk nilai-nilai murni
Peranan Rakan Sebaya 
  • menjadi role model
  • memberi motivasi
  • medengar dan memberi sokongan
Peranan Diri Sendiri
  • mengubah sikap negatif
  • yakin bahawa mereka mampu melakukan perubahan
  • dekatkan diri dengan Tuhan

Peranan Polis
  • penguatkuasaan undang-undang

No comments:

Post a Comment