Noor 'Aini Hj Aaini @ Johari

Wednesday, 4 March 2015

TEKANAN EMOSI DALAM KALANGAN MURID

Gangguan Emosi dalam kalangan murid
Gangguan emosi merupakan satu situasi yang menunjukkan seseorang individu mengalami konflik dalaman yang sukar untuk diatasi olehnya. Kamus dewan bahasa dan pustaka telah memberi maksud gangguan emosi adalah akibat konflik yang tidak dapat diselesaikan dan dicirikan dengan keresahan sama ada melalui pertuturan atau perlakuan tertentu.
Konflik atau gangguan dalaman akan memberi kesan ke atas tingkah laku seseorang. Gangguan emosi berlaku apabila situasi atau masalah yang dihadapi melebihi kebolehan seseorang untuk mengatasinya. Gangguan emosi boleh dialami oleh sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak terutama murid-murid di sekolah.

Tanda-tanda gangguan emosi dalam kalangan murid
Gangguan emosi yang tidak dapat diatasi akan membawa kepada gangguan pemikiran, pelbagai perubahan tingkah laku seperti ketakutan, kebimbangan dan kemurungan. Murid yang menghadapi gangguan emosi dapat dikenalpasti melalui beberapa tanda.
Di antara tanda-tanda gangguan emosi dalam kalangan murid-murid adalah:
  • Kurang selera makan
  • Loya tekak dan sering muntah
  • Suka menyendiri / mengasing diri
  • Sering sakit perut/ sakit kepala
  • Kemurungan
  • Kelihatan sedih/ kecewa
  • Kurang keyakinan diri
  • Kerap menangis tanpa sebab
  • Kencing malam
  • Suka menggigit kuku
  • Cepat marah
  • Bertindak agresif/ impulsif
  • Ketakutan dan kebimbangan yang melampau
  • Kelihatan lesu/ letih dan sering mengantuk
  • Kerap diserang penyakit
  • Bertingkah laku ganjil

Punca Gangguan emosi
Terdapat banyak punca yang menyebabkan gangguan emosi dalam kalangan murid di sekolah. Punca-punca gangguan emosi murid boleh dikategorikan kepada faktor kekeluargaan, faktor rakan sebaya, , faktor guru, faktor sekolah dan faktor persekitaran masyarakat.
Terri mouro (2004) menyatakan faktor persekitaran sekolah, perstiwa dalam keluarga, pengaruh rakan sebaya dan lain-lain lagi.

 Faktor Kekeluargaan
- Keadaan keluarga yang kucar kacir, pertengkaran dan perceraian kedua ibu bapa
- Status ekonomi keluarga yang tidak stabil serta masalah kewangan
- hubungan ahli keluarga tidak rapat, sering berlaku pergaduhan antara adik beradik
- kurang perhatian, penghargaan dan kasih sayang daripada ibubapa
- penderaan oleh ibu bapa atau penjaga
- sikap ibu bapa yang pilih kasih

 Faktor rakan sebaya
- rakan sebaya yang agresif dan sering bergaduh
- ejekan dan penghinaan daripada rakan sebaya
- ugutan dan buli rakan sebaya
- rakan sebaya yang suka menunjuk
- disingkir dan tidak diterima oleh rakan sebaya

 Faktor Guru
- guru yang mengamalkan pilih kasih /diskriminasi
- gaya dan kaedah pengajaran yang kurang sesuai
- kemahiran komunikasi guru
- guru yang kasar dan agresif
- Hubungan guru murid yang kurang mesra
- kepimpinan guru yang autokratik

 Faktor sekolah
- suasana dan persekitaran sekolah tidak kondusif
- kurang kemudahan infrustruktur sekolah
- sikap pentadbir sekolah
- budaya sekolah yang hanya mementingkan kecemerlangan akdemik
- peraturan dan disiplin sekolah yang terlalu ketat

 Faktor persekitaran
- ahli masyarakat yang materialistik
- hasad dengki dan prasangka ahli masyarakat
- kurang persefahaman dalam kalangan ahli masyarakat
- diskriminasi dalam masyarakat

Langkah-langkah bagi mengatasi gangguan emosi murid
Gangguan emosi dalam kalangan murid tidak seharusnya dipandang ringan oleh guru dan ibu bapa. Guru yang profesional dan bertanggungjawab seharusnya prihatin dan sensitif dengan perubahan
diri murid yang mengalami gangguan emosi. Seterusnya guru perlumengambil tindakan yang sewajarnya untuk membantu murid bagi mengatasi gangguan emosi tersebut.

Di antara langkah-langkah yang boleh dilaksanakan adalah:
  • Berbincang secara peribadi dengan murid tersebut untuk mengenalpasti punca gangguan emosi
  • Memberi perhatian dan penghargaan yang sesuai kepadanya
  • Memberi motivasi, dorongan dan sokongan yang positif untuk meningkatkan keyakinan diri dan konsep kendiri
  • Merujuk murid tersebut kepada kaunselor sekolah
  • Berbincang dengan ibu bapa atau penjaga
  • Kepimpinan guru dan pentadbir yang demokratik
  • Strategi dan kaedah pengajaran guru yang pelbagai dapat memenuhi kehendak dan keperluan murid
  • Mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif

HAK ASASI KANAK-KANAK
 Kanak-kanak merupakan modal insan yang penting kepada sesebuah negara. Modal insan ini dapat dibangunkan kepada tahap optimum melalui penyediaan persekitaran yang selamat dan kondusif.
 Sehubungan itu, perlindungan terhadap kanak-kanak daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi adalah satu aspek penting dan hendaklah diberi keutamaan.
 Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 20 November 1989 telah menerima pakai Konvensyen Hak Kanak-kanak untuk memberi perlindungan kepada kanak-kanak di dunia. Berdasarkan dokumen konvensyen tersebut, kanak-kanak adalah diberi perlindungan daripada pengabaian, penderaan, eksploitasi dan mempunyai hak-hak tertentu. Malaysia telah menerima pakai konvensyen tersebut.
 Berdasarkan konvensyen ini, semua kanak-kanak tanpa mengira jantina, latar belakang, status sosio-ekonomi,kepercayaan agama dan kebolehan diiktiraf sebagai individu yang mempunyai hak-hak asasi untuk membesar dan mendapat perlindung dalam kehidupan mereka.

Prinsip-prinsip Konvensyen
Konvensyen ini telah menetapkan beberapa prinsip,iaitu;
 Tidak ada diskriminasi terhadap kanak-kanak
Semua kanak-kanak tanpa mengira bangsa, warna, jantina, bahasa, agama, pendapat politik, asal negara, etnik atau masyarakat, harta, ketidakupayaan, kelahiran atau tarafnya atau ibu bapa/penjaganya mempunyai hak yang sama.
 Kepentingan terbaik bagi kanak-kanak Pertimbangan utama dalam segala hal ialah kepentingan yang terbaik bagi kanak-kanak.
 Hak untuk hidup dan berkembang Kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup dan berkembang dalam semua aspek kehidupan mereka, termasuk aspek jasmani, emosi, psiko-sosial, kognitif, sosial dan kebudayaan.
 Hak untuk Penyertaan
Kanak-kanak hendaklah dibolehkan turut serta secara aktif dalam segala hal yang melibatkan kehidupan mereka dan bebas untuk memberi pendapat dan pandangan. Mereka mempunyai hak untuk didengar dan diambil peduli secara serius.

Definisi Kanak-kanak
Perkara 1- Seorang kanak-kanak diiktiraf sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun, melainkan jika undang-undang negaranya mengiktirafkan umur dewasanya sebelum itu.

Hak Kanak-kanak
 Hak kehidupan
 Hak Perlindungan
 Hak Perkembangan
 Hak Penyertaan


Hak Kehidupan
Kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapat keperluan asas seperti makanan, air bersih, tempat tinggal dan penjagaan kesihatan. Ibu bapa atau penjaga kanak-kanak bertanggungjawab memastikan hak kanak-kanak untuk hidup dipenuhi.
Perkara 6 : Semua kanak-kanak mempunyai hak sedia ada untuk hidup dan negara mempunyai obligasi untuk memastikan kewujudan perkembangan kanak-kanak tersebut.

Hak Perlindungan
Hak perlindungan ke atas kanak-kanak merangkumi perlindungan daripada diskriminasi, penderaan dan pengabaian. Ibu bapa atau penjaga mesti memberi penjagaan dan perlindungan kepada kanak-kanak. Kanak-kanak tanpa keluarga atau pelarian harus diberi perlidungan yang sewajarnya. Di samping itu perlindungan seksual, fizikal, dan eksploitasi, pengabaian, penyalahgunaan dadah dan diskriminasi juga merupakan hak kanak-kanak. Negara hendaklah memberi perlindungan kepada kanak-kanak sekiranya mereka diabaikan oleh ibu bapa atau penjaga.
Perkara 3: Negara hendaklah memberikan penjagaan secukupnya kepada kanak-kanak melalui pihak berkuasa tempatan yang berkaitan sekiranya kanak-kanak tersebut diabaikan oleh ibu bapa atau penjaga mereka.
Perkara 8: Negara mempunyai obligasi untuk melindungi dan jika perlu memantapkan semula aspek asas identiti termasuk kerakyatan dan hubungan kekeluargaan.

Hak Perkembangan
Ibu bapa, keluarga kembangan atau penjaga bertanggungjawab untuk memastikan kanak-kanak berkembang dari aspek jasmani, mental, emosi, kerohanian, moral dan sosial. Pendidikan harus diberi kepada kanak-kanak untuk mereka berkembang dengan lebih optimum.
Perkara 5: Negara mesti menghormati tanggungjawab ibu bapa atau keluarga kembangan untuk memberi bimbingan kepada kanak-kanak berdasarkan keupayaan mereka.

Hak Penyertaan
Kanak-kanak juga diberi kebebasan untuk bersuara, memberi pendapat, bergaul dan bermain dengan rakan-rakan sebaya. Pandangan dan pendapat mereka berkaitan dengan hal ehwal kanak-kanak harus didengar dan diguna pakai. Mereka juga berhak untuk menyertai aktiviti atau program persatuan dan kelab.
Perkara 12: Semua kanak-kanak mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan dengan bebas dalam semua perkara berkaitan dengan hal kanak-kanak.

HAK KANAK-KANAK DI MALAYSIA
Malaysia telah menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap Konvensyen Hak Kanak-kanak,1989 dengan mewujudkan persekitaran, peluang dan ruang hak-hak kanak-kanak tersebut dapat dilaksanakan.
Di antara komitmen Malaysia terhadap pengiktirafan hak kanak-kanak, Kerajaan Malaysia telah mengesahkan dan menandatangani Konvensyen-konvensyen berikut:
 Konvensyen Hak Asasi Kanak-kanak : 19 Mac 1995
 Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita: 4 Ogos 1995
 Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa 138 (umur minimum untuk diambil bekerja) : 1997 
 Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa 182 ( bentuk buruh kanak-kanak yang paling teruk) pada 10 November 2000.

Hak kanak-kanak Malaysia sentiasa diberi perhatian oleh pihak kerajaan. Hak Kanak-kanak Malaysia merangkumi hak yang termaktub dalam konvensyen Hak Kanak-kanak, 1989 iaitu Hak Kehidupan, Hak Perlindungan, Hak Perkembangan dan Hak Penyertaan.

Hak kehidupan
Ibu bapa atau penjaga kanak-kanak di Malaysia mesti menyediakan keperluan asas untuk kanak-kanak mengikut kemampuan mereka. Kanak-kanak memerlukan tempat tinggal yang baik dan kondusif. makanan yang seimbang dan air yang bersih.Ianya dapat menjamin kelangsungan hidup yang positif dan ceria. Makanan yang seimbang dan air yang bersih diperlukan untuk kesihatan kanak-kanak untuk hidup yang positif dan aktif.

Hak Perlindungan
Kanak-kanak di Malaysia merupakan aset yang sangat berharga untuk masa depan Negara. Oleh yang demikian, kanak-kanak di Malaysia sangat dilindungi dari sebarang unsur-unsur negatif seperti penderaan, pengabaian, ekploitasi dan penghambaan. Perlindungan akan diberikan kepada kanak-kanak yang didera samada fizikal, emosi atau seksual. Isu-isu penderaan, pencabulan, pengabaian oleh penjaga dan eksploitasi merupakan fenomena yang berlanjutan dan perlu dibenteras. Kerajaan Malaysia memandang isu-isu ini sebagai suatu bencana dan ancaman kepada pembangunan Negara. Pihak yang melakukan penderaan, pengabaian dan eksploitasi ke atas kanak-kanak akan dikenakan hukuman yang berat.

Hak Perkembangan
Selaras dengan aspirasi Konvensyen Hak Kanak-kanak, Malaysia memberi perhatian yang serius dalam perkembangan holistik kanak-kanak yang melibatkan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Ibu bapa mesti menyediakan pendidikan formal kepada kanak-kanak dengan menghantar mereka ke sekolah dan pendidikan tidak formal seperti ilmu agama dan nilai moral. Minat membaca dan kecintaan kanak-kanak terhadap ilmu pengetahuan perlu dipupuk sejak dari kecil demi memastikan kanak-kanak berkembang secara menyeluruh dan seimbang dari pelbagi aspek.

Hak Penyertaan
Kanak-kanak di Malaysia diberi hak untuk bergaul dan bermain dengan rakan sebaya dengan bebas tanpa sekatan. Melalui bermain mereka dapat berinteraksi dengan rakan sebaya seterusnya dapat meningkatkan kemahiran social mereka. Mereka boleh bergaul bebas tanpa mengira bangsa, keturunan, warna kulit, agama dan sebagainya. Kanak-kanak di Malaysia tidak dihalang untuk menyertai dan menjadi ahli persatuan dan kelab.





1 comment: