Noor 'Aini Hj Aaini @ Johari

Monday, 20 April 2015

GURU ABAD KE 21

Pengetahuan Isi Kandungan Kurikulum

Guru abad ke-21 perlu mempunyai tahap pengetahuan isi kandungan kurikulum yang baik. Perkembangan terkini dalam kurikulum pendidikan sewajar diketahui oleh setiap guru. Antara pengetahuan isi kandungan kurikulum yang perlu difokuskan ialah:

·         Kesediaan guru untuk menyampaikan bahan pengajaran merupakan perkara terpenting dalam pengendalian sesi pengajaran dan pembelajaran. Hal ini bermakna pengetahuan guru tentang isi kandungan kurikulum merupakan kesediaan terpenting untuk memastikan keberkesanan pengajarannya.

·         Pengetahuan substantif, iaitu pengetahuan tentang apa yang ada dalam fakta atau konsep yang digunakan untuk menyusun idea dan maklumat tentang sesuatu tajuk dalam mata pelajaran berkenaan. Hal ini bermakna setiap guru seharusnya memiliki pengetahuan substantif ini, terutamanya bagi tajuk-tajuk yang melibatkan isu-isu semasa.

·         Pengetahuan sintaktik, iaitu pengetahuan tentang cara bagaimana sesuatu perkara itu dibentuk dan dihasilkan berdasarkan prosedur, kaedah dan proses yang melaluinya, sesuatu kebenaran dan pengetahuan baru dapat dibina. Hal ini bermakna setiap guru perlu mengukuhkan kefahaman konseptual pelajar dengan menggunakan contoh, analogi, hujah secara logikal dan berhujah menggunakan asas fakta yang tepat mengikut tahap pemikiran pelajar.

·         Penguasaan ilmu, iaitu setiap guru perlu menguasai ilmu mata pelajaran dan ilmu pedagogi. Pengetahuan isi kandungan subjek yang berkaitan dengan sukatan, sama ada secara langsung atau tidak secara langsung merupakan faktor penentu kefahaman pelajar terhadap apa yang diajarkan oleh guru. Hal ini bermakna tanpa menguasai kandungan kurikulum, boleh mengganggu pemahaman dan pengetahuan pelajar tentang tajuk yang dipelajari.

Rumusannya, tahap keberkesanan pengajaran guru banyak bergantung kepada pengetahuan isi kandungan subjek dan kemampuan guru mengurus masa untuk dimanfaatkan sepenuhnya dalam pengajaran. Pengetahuan isi kandungan kurikulum yang baik juga membantu guru merancang pengajaran harian, mingguan dan bulanan secara sistematik dan bertulis.

Pengetahuan Pedagogi

Pengetahuan pedagogi mengajar bermaksud setiap guru perlu mempunyai pelbagai pengetahuan berkaitan pedagogi mengajar. Dalam konteks pendidikan, setiap guru sewajarnya memahami dan menguasai pelbagai kemahiran mengajar/pedagogi terkini yang melibatkan kaedah, pendekatan, teknik dan strategi mengajar. Dalam pengajaran, seharusnya pelajar merasai dan dapat memahami bahawa guru mereka seharusnya lebih mahir dan lebih mengetahui sesuatu tajuk yang dibincangkan berbanding pelajar. Hal ini boleh dilihat antara lain melalui pedagogi mengajar yang guru gunakan.

·         Pendekatan pengajaran: Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran, terdapat banyak pendekatan pengajaran yang boleh digunakan di dalam bilik darjah. Selalunya guru-guru akan menggunakan pendekatan konvensional dan tradisi yang sudah biasa digunakan dalam pengajaran seperti deduktik, induktik dan komunikatif. Kini sepatutnya guru-guru perlu meneroka kepada pendekatan pengajaran terkini dan sesuai dengan tahap kognitif, kepelbagaian pelajar, kesesuaian tajuk yang diajar dan sebagainya. Antara pendekatan terkini yang boleh digunakan ialah pendekatan masteri, kontekstual, konstruktif, koperatif, kolaboratif, penyebatian kemahiran, penggabungjalinan pelbagai displin ilmu dan pembelajaran berasaskan masalah.

·         Kaedah pengajaran: Terdapat banyak kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sewajarnya setiap guru mengetahui dan menguasainya. Di dalam kelas kepelbagaian pelajar, kaedah mengajar berpusat pelajar seharusnya diberi penekanan oleh guru. Antaranya ialah kaedah perbincangan, main peranan, penyelesaian masalah, pembelajaran atas talian, inkuiri, sumbang saran dan sebagainya. Kaedah pengajaran yang banyak berpusatkan guru dan bahan tidak digalakkan digunakan oleh guru.

·         Teknik pengajaran: Teknik pengajaran adalah perincian daripada penggunaan sesuatu kaedah yang digunakan. Teknik pengajaran lebih kepada pelaksanaan bagaimana sesuatu kaedah pengajaran itu dapat dilaksanakan dalam sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran. Teknik pengajaran merupakan kemahiran guru dalam mengelola dan melaksanakan kaedah mengajar dalam sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Antara teknik mengajar yang biasa digunakan ialah teknik bercerita, bersyarah, perbincangan, demonstrasi, latih tubi, penyoalan, sumbang saran dan permainan. Tujuan menggunakan pelbagai teknik mengajar dalam situasi pengajaran adalah untuk menarik minat pelajar, mengekalkan perhatian serta membangkitkan rasa ingin tahu pelajar supaya mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran. Teknik-teknik pengajaran adalah kemahiran atau perkara-perkara khusus yang terdapat dalam sesuatu kaedah. Jika seseorang guru itu tidak dapat menguasai teknik-teknik yang ada pada sesuatu kaedah, maka kemungkinan besar matlamat kaedah itu akan tidak berhasil.

·         Strategi pengajaran: Peranan strategi pengajaran adalah lebih penting lagi jika kita mengajar pelajar-pelajar yang berbeza dari segi kebolehan, pencapaian, kecenderungan serta minat yang berbeza-beza. Kita perlu rancangkan pendekatan dan kaedah yang digunakan untuk mengajar kumpulan-kumpulan yang berbeza-beza itu. Contohnya, di dalam bilik darjah yang pelbagai tahap pencapaian, guru perlu memikirkan strategi pengajaran yang terdiri daripada pelbagai kaedah mengajar untuk memenuhi keperluan semua kumpulan. Di samping itu, setiap bilik darjah mempunyai halangan serta rintangan-rintangan yang tersendiri seperti keadaan fizikal, kemudahan bilik darjah, nilai, norma serta latar belakang sekolah dan pelajar. Lantaran itu, seseorang guru bukan sahaja mesti menguasai berbagai-bagai kaedah mengajar tetapi yang lebih penting lagi ialah bagaimana mengintegrasikan serta menyusun kaedah-kaedah itu untuk membentuk strategi pengajaran dan pembelajaran yang paling berkesan dalam pengajarannya.


Kesimpulannya, dalam melaksanakan kepelbagaian kaedah pengajaran dan pembelajaran, guru perlu memilih kaedah yang sesuai digunakan seperti kaedah praktis, perbincangan, soal jawab dan sebagainya. Selepas kaedah yang hendak digunakan dipilih, barulah guru merancang teknik yang boleh komplemen dengan kaedah tersebut seperti teknik bercerita, latih tubi, menghafal dan seumpamanya. Usaha mengenal pasti dan memilih kaedah dan teknik yang sesuai dapat memenuhi pendekatan yang digunakan yang disebut sebagai strategi.
Pengetahuan Guru Tentang Ciri Pelajar

Guru yang baik ialah seorang guru yang bukan sahaja mempunyai kepelbagaian kemahiran mengajar, tetapi juga mempunyai pengetahuan yang mendalam terhadap setiap anak pelajar yang di dalam kelas yang diajarnya. Pengetahuan berkaitan ciri pelajar adalah amat diperlukan untuk membantu guru memilih pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan setiap ciri pelajarnya[1]. Pengetahuan guru tentang ciri pelajarnya boleh menjadikan pengajaran guru menyeronokkan dan meninggalkan kesan positif dalam diri pelajar berkenaan. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu, pengetahuan guru tentang pelajar-pelajarnya dilihat dari aspek:

·         Maklumat umum tentang pelajar berkenaan: Hal ini bermaksud setiap guru bukan fungsinya untuk mengajar sahaja, tetapi juga mengambil berat akan hal-hal berkaitan dengan pelajar yang diasuhnya. Mengambil berat ini amat penting jika guru berkenaan menjadi guru kelas pada setiap pelajar tersebut.

·         Pengetahuan tentang tahap kognitif pelajar: Setiap pelajar adalah berbeza tahap kognitifnya. Guru perlu memahami setiap pelajarnya itu adalah berbeza tahap kognitifnya. Sudah tentu apabila menyoal (aras soalan), memberi tugasan (mudah atau sukar), memberi arahan main peranan (sebagai ketua, pembentang, pencatat) dan sebagainya, maka guru-guru perlu mengambil keupayaan pelajar tersebut untuk menjawab soalan, menyiapkan tugasan, kemampuan bertindak ketika main peranan dan sebagainya.
·         Pengetahuan tentang sikap pelajar: Faktor sikap amat penting dalam menentukan sama ada seseorang pelajar itu berminat atau tidak berminat mempelajari sesuatu mata pelajaran itu, guru yang mengajar, kaedah pengajaran yang digunakan dan sebagainya. Justeru, setiap guru perlu memastikan pengajarannya menyeronokkan, dan mudah difahami pelajar. Kreativiti dan inovatif guru ketika mengajar boleh mempengaruhi sikap pelajar terhadap mata pelajaran.

Memahami Psikologi Pembelajaran
Guru perlulah memahami dan menguasai sepenuhnya psikologi pembelajaran untuk mengawal dan membentuk sikap pelajar. Teori-teori psikologi pembelajaran yang dipelajari perlulah digunakan semula dan diaplikasikan kepada pelajar. Sebagai seorang guru perlu memahami sepenuhnya psikologi pembelajaran dan mengetahui kegunaannya bagi setiap masalah pelajar.
Kemahiran berfikir dan pemikiran konstruktif – pelajar-pelajar mestilah dididik menggunakan daya fikir tinggi dan minda untuk melahirkan pelajar-pelajar untuk belajar sepanjang hayat dan mempunyai modal intelektual tinggi menghadapi era globalisasi. Kemahiran berfikir dan pemikiran konstruktif perlu juga terarah kepada pandangan jauh dan luar biasa.
Memiliki Kemahiran Kaunseling
Menerapkan nilai-nilai murni/moral/akhlak – nilai-nilai murni menitikberatkan perlakuan baik, peradaban dan tatasusila insan dalam hubungannya sesama manusia, alam dan Tuhan. Elemen ini sangat penting dalam usaha pembudayaan masyarakat yang dapat mewujudkan kesejahteraan dan keharmonian negara.
Menggunakan Teknologi Terkini
Guru memainkan peranan utama dalam membimbing pelajar untuk melayari internet, mencari laman sesawang, memilih perisian yang sesuai dan mengumpul serta mengulas maklumat. Dengan bimbingan guru juga kesedaran global pada era digital sepatutnya mudah dicapai dan seharusnya meningkat.
Pembelajaran berasaskan projek (project-based learning) adalah satu pendekatan P&P yang boleh memupuk kemahiran tersebut. Topik-topik tertentu dalam mata pelajaran Sejarah dan Sains contohnya boleh diberi sebagai tugasan projek di mana pelajar perlu mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber.
Tugasan menerusi pembelajaran berasaskan projek juga menggalakkan komunikasi interaktif. Pelajar berbincang dan berkongsi maklumat mengenai projek bersama rakan dan guru secara bersemuka atau atas talian menerusi pelbagai alat media sosial seperti e-mel, Facebook atau blog.
Sumber terbaik bagi membina kemahiran komunikasi interaktif seperti kemahiran sosial dan peribadi, semangat berpasukan dan kolaborasi adalah menerusi lima bentuk teknologi era digital iaitu mobility (bergerak) seperti telefon pintar, connectivity (penyambungan) seperti WiFi, rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter, enjin carian seperti Google dan Yahoo, dan portal perkongsian maklumat seperti Wikipedia dan YouTube.
Jelas sekali bahawa pembangunan abad ke-21 dalam kalangan pelajar memerlukan perubahan pada pendekatan pendidikan. Perubahan ini boleh berlaku di peringkat sekolah atau bilik darjah.  Walau bagaimanapun, perubahan di peringkat sekolah atau bilik darjah memerlukan kesedaran dan kemahiran di kalangan guru dan pentadbir. Program pengurusan perubahan dan kajian semula program latihan guru adalah perkara-perkara asas yang perlu disediakan ke arah pendidikan, persekolahan dan kemahiran abad ke-21.
Teknologi dan perkomputeran – para pendidik seharusnya mengorak langkah dan menggembleng peluang untuk melengkapkan diri berketrampilan sebagai pemimpin ilmu berasaskan teknologi serta bersedia menjurus kepada penguasaan dan penggunaan teknologi maklumat untuk pelbagai bidang dan menjadi mekanisme urusan haria
Perkembangan dunia aspek ekonomi, sosial, politik dan teknologi seharusnya menjadi indikator asas kepada sistem pendidikan dan persekolahan untuk memenuhi keperluan tenaga manusia yang berteraskan keilmuan yang berkualiti, asas nilai dan moral yang berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan, semangat patiotis dan memelihara perpaduan rakyat sebagai bangsa Malaysia, dan manusia yang bertaraf dunia. Para pendidik adalah wahana yang boleh menentukan corak manusia yang mampu menghadapi alaf baru, abad ke-21.


[1] (Zamri 2011, Wood 2002) 

No comments:

Post a Comment